ANTARA gerai menjual barang basah dibuka di kawasan Fasa 3 Taman Sri Murni, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan penduduk
ANTARA gerai menjual barang basah dibuka di kawasan Fasa 3 Taman Sri Murni, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan penduduk
Nurul Hidayah Bahaudin


BEBERAPA gerai menjual barang basah dibuka di Fasa 3, Taman Sri Murni, di sini, bagi membolehkan penduduk mendapatkan bekalan berkenaan.

Pengerusi (Penaja) Persatuan Penduduk Taman Sri Murni Fasa 3 Kuala Lumpur 2020 Puziah Yeop Harun berkata, gerai berkenaan mula beroperasi kira-kira jam 10 pagi tadi.

"Difahamkan gerai berkenaan dikendalikan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan penduduk sekitar kawasan ini mendapat bekalan barang basah seperti ayam, ikan dan sayuran.

"Hanya kira-kira 20 penduduk dibenarkan membeli barangan basah di gerai berkenaan pada satu-satu masa bagi mengelakkan kesesakan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Puziah berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif berkenaan kerana ia membolehkan penduduk mendapatkan lauk untuk berbuka puasa.

"Bagaimanapun, ada antara penduduk memaklumkan mereka tidak dapat membeli barang basah itu kerana tidak mempunyai wang tunai.

"Pada masa sama, ada juga penduduk memaklumkan hanya dapat membeli sedikit barang basah kerana harga agak mahal," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Covid-19 Taman Sri Murni Tariq Asyraf Shah berkata, penduduk di Fasa 1 dan Fasa 2 taman berkenaan tidak mendapat akses membeli barang basah di gerai terbabit yang terletak di Fasa 3.

"Setakat ini, bantuan yang diterima hanya membabitkan bekalan makanan asas membabitkan beras, gula, biskut serta tin sardin selain keperluan lain seperti tuala wanita, lampin pakai buang dan susu formula bayi.

"Justeru, penduduk memerlukan barang basah untuk mendapatkan lauk sepanjang bulan Ramadan. Namun, hanya sesetengah penduduk yang dapat membeli barang basah di gerai terbabit," katanya.

Tariq berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan bantuan diperlukan penduduk di kawasan berkenaan.

"Saya difahamkan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil memberikan bantuan kepada penduduk sejak kawasan ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Sepanjang tempoh itu, saya akan berbincang dengan wakil penduduk setiap blok serta wakil JKM bagi urusan bantuan dari segi makanan dan perubatan," katanya.

Katanya, semua penduduk di Taman Sri Murni sudah melakukan ujian saringan Covid-19.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dikenakan PKPD bermula 20 April lalu hingga 3 Mei nanti.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 4:11 PM