GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


LELAKI warga emas kerugian RM45,000 selepas ditipu adik angkatnya yang dikenali ketika mengikuti kursus di luar negara.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa berusia 67 tahun itu menerima emel daripada wanita warga asing yang dikenali sebagai 'Miss Felicia Miley Adams' yang dianggap sebagai adik angkatnya, lewat Januari lalu.

"Mangsa mula mengenali suspek ketika berkursus selama enam bulan di Auckland, New Zealand pada 2009 dan sejak itu, mereka berhubung melalui WhatsApp.

"Suspek memaklumkan bahawa ibu bapanya telah meninggal dunia dan menyatakan hasratnya untuk berpindah ke Malaysia serta membawa barangan dan wang tunai RM100,000 selain barangan kemas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pada 17 Mac lalu, mangsa menerima panggilan daripada adik angkatnya menyatakan barangan dalam bagasi berisi wang tunai dan barang kemas ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) kerana melebihi berat dibenarkan.

"Suspek meminta mangsa membuat pembayaran awal bagi melepaskan dan menyelesaikan masalah sekatan kiriman barangan tersebut.

"Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuat tiga transaksi pembayaran termasuk bayaran cukai kastam dan pembayaran untuk berat lebihan di tiga bank berlainan," katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah meragui adik angkatnya memintanya pelbagai bayaran tambahan untuk melepaskan barangan berkenaan.

"Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sentral di Sibu semalam.

"Modus operandi ialah memperdayakan mangsa untuk membuat bayaran bungkusan yang tidak wujud," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Sekysen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 4:26 PM