GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


SEBANYAK 72 masjid dan surau di Wilayah Persekutuan akan dijadikan Dapur It'am bagi penyediaan dan agihan juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan dengan peruntukan RM2.16 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, masakan itu akan diagihkan kepada penduduk setempat selain operasinya hanya terhad kepada enam petugas yang menjaga jarak sosial mereka dengan memakai sarung tangan, penutup hidung dan mulut serta topi menutup kepala.

Menurutnya, pengendalian dan operasinya akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan menitikberatkan penjagaan jarak bagi memastikan tiada penularan Covid-19.

"Selepas solat Asar, makanan dibungkus itu akan ada wakil untuk datang ambil tanpa perlu beratur dan diagihkan ke tempat atau taman masing-masing.

"Apa yang kita bajetkan adalah 72 masjid dan surau yang mengikut SOP dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Zulkifli berkata, kerajaan memperuntukkan RM2.16 juta bagi tempoh 30 hari dengan kos sebanyak RM1,001 sehari bagi setiap masjid atau surau.

"Program itu mampu membantu seramai 25,200 keluarga sehari atau jika satu keluarga ada empat orang akan menanggung 100,000 orang atau tiga juta orang sepanjang Ramadan.

"Program itu bertujuan membina hubungan keakraban dalam norma baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 4:25 PM