FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Aktiviti mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan termasuk solat tarawih, moreh dan majlis berbuka puasa dibenar dilaksana di seluruh Kedah.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud, berkata solat tarawih dibenarkan mengikut kapasiti keseluruhan masjid dan surau dengan mematuhi protokol kesihatan dan penjarakan fizikal minimum satu meter.

Katanya, program tadarus al-Quran yang turut dilaksana pada tahun sebelum ini turut dibenarkan, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sama.

"Program qiamullail di masjid dan surau pula dibenarkan dengan aktiviti terhad kepada ibadah solat sunat, membaca al-Quran dan zikir sahaja.

"Bagaimanapun, sebarang aktiviti tidur di masjid dan surau tidak dibenarkan sama sekali," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, ahli kariah boleh mengadakan jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur di kawasan masjid dan surau dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Katanya, jamuan hanya dibenarkan dalam bentuk bufet sahaja serta dihidangkan di ruangan khas jamuan dengan mengamalkan SOP ketat.

Bagaimanapun jelasnya, masjid dan surau digalak menyediakan makanan yang siap dibungkus kepada jemaah masing-masing.

"Bagi hidangan bufet, pihak masjid dan surau hendaklah menyediakan petugas khas bagi mencedok nasi, lauk, menyediakan minuman dan sebagainya sebagai satu langkah mengekang penularan wabak Covid-19.

"Aktiviti memasak juadah berbuka, moreh dan sahur di masjid dan surau dibenarkan dengan pembabitan tidak melebihi 10 petugas sahaja di lokasi penyediaan makanan pada suatu masa, serta mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) khususnya berkaitan penyediaan makanan," tegas beliau.

Beliau berkata, mana-mana masjid atau surau yang melanggar dan tidak mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta merta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 12:36 PM