POKOK tumbang akibat ribut di Jalan Makam Mahsuri, Langkawi. FOTO ihsan JBPM
POKOK tumbang akibat ribut di Jalan Makam Mahsuri, Langkawi. FOTO ihsan JBPM
KEADAAN rumah di Bagan Serai yang rosak dilanda ribut petang tadi. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN rumah di Bagan Serai yang rosak dilanda ribut petang tadi. FOTO ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli dan Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Alor Setar: Sekurang-kurangnya 87 rumah penduduk di tiga daerah di Kedah rosak akibat kejadian ribut yang membadai lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, ribut dilaporkan merosakkan 45 rumah di Kota Setar, 12 di Langkawi dan 30 rumah di Kubang Pasu.

Pegawai Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, antara kawasan terjejas di daerah Kota Setar adalah di Titi Gajah, Taman Mas Merah, Taman Indah, Kampung Selarong dan Kampung Kota Rentang.

“Ribut turut membadai kawasan di daerah Kubang Pasu antaranya Kampung Tok Jalai, Kampung Padang Gelam, Kampung Padang Lalang di Jerlun dan Kampung Padang Pekan.

“Di Langkawi pula antara kawasan terjejas adalah Kampung Nyior Chabang, Kampung Bukit Temin dan Kampung Bukit Tekuh.

“Sehingga kini anggota APM di setiap daerah masih melakukan pemantauan di kawasan bencana bagi memastikan jumlah sebenar rumah penduduk yang terjejas,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Muaz berkata, setakat ini tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam pada itu, satu video ditular di laman sosial menunjukkan bahagian bumbung di Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kompleks Persekutuan, Anak Bukit, rosak akibat ditiup angin kencang.

Sementara itu, di Kerian, Perak pula dilaporkan 58 rumah di Bagan Serai dan Parit Buntar mengalami kerosakan akibat ribut.

Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri berkata, berdasarkan maklumat terkumpul sehingga jam 9.00 malam semalam, 58 rumah dari empat mukim dilaporkan mengalami kerosakan.

Menurutnya, daripada jumlah itu Bagan Serai mencatat kerosakan tertinggi iaitu 38 rumah, Selinsing (11), Beriah (6) dan Parit Buntar (3).

“Kami masih mengumpulkan maklumat keseluruhan rumah yang terjejas akibat kejadian ribut petang tadi. Sehingga malam ini, 58 rumah dari empat mukim telah terjejas.

“Jumlah keseluruhan rumah yang terjejas dan anggaran kerosakan akan diperoleh hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 12:46 AM