SEKITAR MATTA Fair Kuala Lumpur September 2019 lalu.
SEKITAR MATTA Fair Kuala Lumpur September 2019 lalu.
Sri Ayu Kartika Amri


PERSATUAN Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengecualikan semua yuran ahlinya.

Presiden MATA Datuk Mohd Khalid Harun berkata, sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan pandemik Covid-19, sekatan perjalanan sudah dikenakan di seluruh dunia.

“Acara utama juga dibatalkan dan beribu perniagaan terhenti.

“Impak kewangan ahli MATA begitu terkesan sejak Covid-19 melanda dan ia dapat dikurangkan dengan mengenepikan yuran keahlian IATA 2021, yuran keahlian bulanan 2020 (Januari hingga Disember 2020).

“Selain itu, penyerahan akaun yang diaudit bagi 2019 hingga Disember 2020 juga perlu dilanjutkan.

“Langkah ini untuk membantu anggota kami yang memberi sokongan kepada IATA sejak bertahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurutnya, sejak IATA meramalkan 50 peratus daripada perniagaan syarikat penerbangan akan hilang tahun ini di seluruh dunia, pihaknya percaya IATA dapat melakukan sesuatu bagi membantu ahli MATA.

Mohd Khalid berkata, pihaknya berharap IATA akan mengambil langkah mengenepikan yuran berkenaan.

“Inilah masanya untuk semua pihak berkepentingan dalam industri pelancongan bekerjasama memartabatkan industri kerana sekarang kita sedang mengalami krisis terbesar dalam sejarah pelancongan.

“Sekiranya gagal, IATA mungkin akan kehilangan lebih banyak perniagaan kerana kami akan memberi nasihat kepada ahli kami untuk tidak memperbaharui keahlian IATA mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 1:13 PM