DR Azman Ibrahim (kanan) bersama petani memetik tembikai di Majlis Penuaian dan Pemasaran Tembikai oleh FAMA di Alor Tok Kabar, Kampung Nyatoh, Setiu, hari ini. FOTO Baharom Bakar
DR Azman Ibrahim (kanan) bersama petani memetik tembikai di Majlis Penuaian dan Pemasaran Tembikai oleh FAMA di Alor Tok Kabar, Kampung Nyatoh, Setiu, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


KEBIMBANGAN peladang di negeri ini berkaitan urusan pemasaran tembikai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selesai hasil bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Selain FAMA, turut tampil menyelesaikan itu itu adalah Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim berkata, FAMA sudah membeli 408,290 tan metrik tembikai daripada peserta ladang kontrak.

“Ia membabitkan nilai keseluruhan RM327,269.10 dan ia berjaya membantu menyelesaikan masalah pemasaran membelenggu peladang.

“Dakwaan mengatakan berlaku lambakan tembikai berikutan PKP adalah tidak berasas.

“Kerajaan negeri melalui TADC dan FAMA sudah membeli kira-kira 1,000 tan metrik tembikai sebelum pengisytiharan PKP pada Januari dan Februari lalu,” katanya ditemui pada Majlis Penuaian dan Pemasaran Tembikai oleh FAMA di Alor Tok Kabar, Kampung Nyatoh di sini, hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi mengakui berlaku sedikit kemerosotan harga pembelian menyebabkan FAMA meletakkan harga lantai iaitu 80 sen sekilogram.

Jelasnya, harga tembikai di ladang pada Januari dan Februari adalah RM1.20 sen sekilogram.

“Berdasarkan kajian, peladang tidak akan rugi jika harga bagi setiap kilogram ditetapkan pada kadar 50 sen hingga 80 sen sekilogram.

“Kebanyakan peserta mengusahakan tanaman tembikai secara berperingkat iaitu tiga kali setahun,” katanya.

Menurut Dr Azman, keluasan tanaman tembikai di seluruh negeri adalah kira-kira 1,000 hektar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 2:47 PM