ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah di Skudai Kiri. FOTO IHSAN BOMBA
ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah di Skudai Kiri. FOTO IHSAN BOMBA
Omar Ahmad


“RUMAH saya musnah tetapi beberapa naskah surah Yasin hanya terbakar sikit sahaja,” kata Mohd Kamal Mohd Razaki, 53.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang Khamis lalu, rumah Mohd Kamal di Skudai Kiri di sini, musnah dalam kebakaran.

Kejadian itu menyebabkan dia sembilan beranak tinggal sehelai sepinggang apabila gagal menyelamatkan barangan berharga.

Pekerja kilang itu berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja dan difahamkan api berpunca daripada tindakan isterinya yang mahu menghalau lebah membuat sarang di bilik tidur.

Katanya, isterinya membakar bekas telur yang diletakkan dalam bekas aluminium untuk menghasilkan asap dengan harapan serangga berbisa itu lari.

Menurutnya, isterinya meninggalkan bekas itu di dalam bilik dan ke dapur bersama ibunya, namun selepas menyedari asap tebal dia bergegas ke bilik sebelum mendapati api sudah marak.

“Saya bergegas pulang selepas dimaklumkan rumah terbakar tetapi sebaik tiba saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana semuanya sudah musnah,” katanya.

Mohd Kamal berkata, dia bersyukur kerana isteri dan ibu mentua yang berusia 80 tahun serta enam anak berusia tujuh hingga 18 tahun selamat dalam kejadian itu.

“Keesokan harinya, saya ke tapak rumah untuk mencari duit yang disimpan tapi malangnya semua hangus.

“Namun saya dapati beberapa naskah surah Yasin hanya terbakar sikit sahaja. Itu kebesaran kuasa Allah,” katanya.

Menurut Mohd Kamal, dia dan keluarganya kini tinggal di Balai Raya Skudai Kiri buat sementara waktu dan buntu memikirkan untuk mencari tempat tinggal baharu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Timbalan Penguasa Bomba 1, Mohd Suhaimi Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 6.38 petang.

“Dua jentera bersama 30 kekuatan anggota digerakkan ke lokasi dan kebakaran dapat dipadamkan pada jam 8.13 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 4:44 PM