MANGSA kebakaran Habibah bersama naskah al-Quran yang terselamat. FOTO Nuraliawati Sabri.
MANGSA kebakaran Habibah bersama naskah al-Quran yang terselamat. FOTO Nuraliawati Sabri.
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Tiada satu barang pun yang dapat selamatkan tetapi saya terkejut apabila dua naskah al-Quran yang dibelikan arwah anak tidak terusik," kata Habibah Mad Sab, mangsa kebakaran di Taman Kenanga 3, Klebang Besar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kediaman warga emas itu antara tiga yang musnah terbakar.

Menurut Habibah, 63, ketika kejadian dia yang tinggal seorang diri ternampak kepulan asap dari tingkap rumahnya sebelum bergegas keluar dan terlihat anak jirannya berusia 11 tahun berada dalam keadaan cemas berhampiran tilam yang sedang terbakar dirumahnya.

"Melihat keadaan itu saya terus menarik paip getah untuk memadamnya dibantu penduduk lain namun kebakaran merebak dengan cepat.

"Akibat kebakaran itu dua motosikal anak lelaki termasuk sebuah Yamaha Y15 turut musnah," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Mohammad Fazzil Mohammad Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.08 petang sebelum 14 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan BBP Melaka Tengah bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan empat rumah dan tiga daripada musnah sepenuh.

"Hanya dua daripada rumah itu yang berpenghuni dan lima mangsa yang berada di tempat kejadian berjaya menyelamatkan diri.

"Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit dan pasukan Forensik Bomba akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 9:56 PM