DR MAHATHIR MOHAMAD
DR MAHATHIR MOHAMAD
Yusmizal Dolah Aling


TUN Dr Mahathir Mohamad disahkan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas menang tanpa bertanding pemilihan parti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya sudah memuat naik senarai calon yang layak bertanding pada pemilihan parti dan bekas perdana menteri itu tidak dicabar untuk jawatan berkenaan selepas proses penamaan calon bertanding untuk pemilihan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) ditutup baru-baru ini.

"Jawatan pengerusi hanya seorang calon dan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, masing-masing ada dua orang calon selepas ditolak pencalonan mereka yang tidak layak," katanya kepada Harian Metro.

Pada sidang media 16 Mac lalu, beliau turut mengumumkan seramai 203 individu menghantar borang pencalonan MPT Bersatu dalam pemilihan dijadual pada Jun depan.

Dalam satu kenyataan akhir Februari lalu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau memangku jawatan Pengerusi Bersatu susulan keputusan Dr Mahathir berundur daripada jawatan itu pada 24 Februari.

Sementara itu, laman web parti berkenaan memuatnaik senarai terkini mereka yang layak bertanding termasuklah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mencabar Muhyiddin untuk jawatan presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 2:47 PM