KELUARGA Monica menangkap ikan di kolam rumahnya sendiri untuk dimasak lauk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
KELUARGA Monica menangkap ikan di kolam rumahnya sendiri untuk dimasak lauk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
Recqueal Raimi


“KADANG-kadang kami sekeluarga makan ubi sebab mahu jimat penggunaan beras,” kata Monica Bangon, 49, penduduk Kampung Lontik Topokon di sini.

Monica yang juga ibu tunggal kepada tiga anak berkata, penutupan kilang mengisar padi serta perkhidmatan lori yang mengambil getah juga dihentikan untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berhampirannya menyebabkan sumber pendapatan mereka terjejas.

“Ketika ini musim kemarau menyebabkan kami sukar menoreh dan Majlis Daerah Tuaran (MDT) juga mengisytiharkan bencana alam kemarau di daerah ini pada 13 Mac akibat cuaca panas berpanjangan tanpa hujan sejak dua bulan lalu.

“Tambahan pula, PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lalu menyebabkan kami tidak dapat mengisar hasil padi di kilang yang dituai kami sendiri.

“Pusat pembelian getah di Tamparuli kembali beroperasi tetapi kami tiada kenderaan untuk menghantar getah sendiri,” katanya yang tinggal kira-kira 30 kilometer dari Pekan Tamparuli.

Menurutnya, dua anaknya bekerja di bandar Kota Kinabalu namun diberi arahan bercuti disebabkan akur PKP.

“Selain seorang anak saya yang berusia 18 tahun, saya tinggal dengan empat ahli keluarga lain termasuk ayah saya.

“Sebelum ini, kami mengusahakan kebun sayur, padi dan kebun getah. Mujurlah kami ada pelihara ikan di kolam sendiri dan kami perlu berjimat menggunakan beras serta bergantung kepada tanaman ubi serta sayur-sayuran,” katanya.

Monica berkata, pihak pentadbiran kampung sudah mendapatkan maklumat mereka untuk mendapatkan bantuan namun belum ada sebarang bantuan disalurkan sehingga kini.

Sementara itu, tukang kasut di Kiulu, Masdi Gadius, 34, berkata sumber pendapatannya turut terjejas.

“Sebelum ini, saya bergantung sepenuhnya terhadap pekerjaan ini dan meraih pendapatan sebanyak RM1,000 sehingga RM1,500 sebulan.”

“Namun, sejak PKP dikuatkuasakan saya buntu dan hanya bergantung terhadap simpanan sendiri,” katanya.

Katanya, pelaksanaan lanjutan PKP yang diumumkan baru-baru ini, menambahkan lagi kesukaran dan berharap bantuan yang akan diterima memberikan kelegaan kepadanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 2:14 PM