PENIAGA langgar arahan Rabu lalu. FOTO MD FUZI ABD LATEH
PENIAGA langgar arahan Rabu lalu. FOTO MD FUZI ABD LATEH
Md Fuzi Abd Lateh


TINDAKAN tegas akan diambil terhadap orang ramai yang masih melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, pemantauan berterusan anggotanya secara menyeluruh diletakkan dalam keadaan siap sedia sepanjang masa sejak 18 Mac lalu.

Katanya, anggota polis kerap membuat rondaan menggunakan kenderaan rasmi kereta peronda dan motosikal ke kawasan bandar, taman perumahan dan kampung dalam daerah Kuala Kubu Bharu.

“Saya terkejut berhubung laporan orang awam menyatakan ada peniaga Pasar Pagi Bukit Sentosa yang menjual ikan dan buah-buahan segar dan murah kepada penduduk, Rabu lalu.

“Hingga awal pagi ini, kami belum menerima aduan baharu mengenai orang awam yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan termasuk sikap degil penjaja kecil berkenaan,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum aduan orang awam mengenai keadaan yang berlaku demi menjaga kesejahteraan rakyat membenteras wabak yang berbahaya itu.

Katanya, beliau sendiri akan kerap turun padang memantau keadaan termasuklah mengetatkan pergerakan penduduk, menambah sekatan jalan raya pintu masuk dan keluar Hulu Selangor.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Shukri Mohd Hamin ketika dihubungi berkata, penjaja perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan untuk tidak berniaga di tempat awam dalam daerah itu.

Katanya, pihak penguatkuasa MDHS kerap memantau kegiatan penjaja kecil di sini supaya tidak melanggar arahan yang mereka keluarkan.

“Kami juga akan menyaman dan menyita barang yang dijual penjaja sekiranya masih berdegil berniaga secara terbuka.

“Tolonglah patuh arahan kerajaan demi keselamatan kita semua membendung wabak Covid 19 ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 5:17 PM