IKAN yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan. FOTO Juwan Riduan.
IKAN yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan. FOTO Juwan Riduan.
Juwan Riduan


SEBANYAK 40 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis dirampas kerana disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan dalam operasi bersepadu di pasar malam Dataran Todak, Segama, di Kota Kinabalu, malam tadi.

Semua ikan itu dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu dalam operasi bermula kira-kira 8 malam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi di pasar basah sekitar daerah itu bagi membanteras penjualan ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Ketika pemeriksaan di sebuah gerai menjual makanan laut di pasar malam itu, kita mendapati ikan yang dijual disyaki ditangkap menggunakan alat letupan.

“Pemeriksaan lanjut merampas kira-kira 40 kg ikan yang disyaki ditangkap menggunakan cara itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, rampasan dibawa ke Pejabat Markas PPM Kota Kinabalu untuk dibuat laporan polis bagi tindakan Jabatan Perikanan Kota Kinabalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan dengan cara menggunakan bahan letupan,” katanya.

Operasi turut disertai oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perikanan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, dengan kekuatan seramai enam pegawai dan 30 anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 9:11 AM