NURTASNI (tengah) bersama rakan-rakannya menunjukkan makanan yang diterima hasil program bank makanan yang diperkenal UiTM Machang, bagi mengelakan pelajar mengikat perut kerana tidak mampu membeli makananan. FOTO Nor Amalina Alias
NURTASNI (tengah) bersama rakan-rakannya menunjukkan makanan yang diterima hasil program bank makanan yang diperkenal UiTM Machang, bagi mengelakan pelajar mengikat perut kerana tidak mampu membeli makananan. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias

SERAMAI 200 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang kini tidak lagi ‘ikat perut’ apabila mereka mendapat manfaat program Zero Hunger 2020 yang dilancarkan hari ini.

Program itu memperkenalkan kawasan pengagihan bank makanan yang berperanan memberikan makan minum kepada pelajar terpilih bagi mengelakkan mereka kelaparan akibat tidak mampu dari segi kewangan.

Rektor UiTM Machang, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed berkata, program itu adalah inisiatif khas dalam menjaga kebajikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang sebelum ini hanya makan sekali sehari dan kerap berpuasa kerana tiada wang untuk membeli makanan.

Katanya, program itu mendapat kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan dan penaja korporat seperti Edlee Fried Chicken, KS Chu Marketing, IMPAK, Koop Ummah, Kayangan Properties dan penaja individu.

“Kita akan kumpulkan makanan yang diberikan di satu pusat yang dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pelajar boleh ambil makanan di situ setiap hari.

“Satu lagi inisiatif diambil kita sediakan tabung HEP CARE, di mana kaki tangan UiTM akan bagi sumbangan duit kemudian kita gunakan untuk beli makanan dan tempatkan makanan itu juga di pusat pengumpulan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran bank makanan itu dalam Program Zero Hunger 2020, di UiTM Kampus Machang, hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof Dr Azizan Abdullah dan hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri (KPPN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Hassan.

Dalam program semalam, pelajar di hidangkan dengan makanan seperti nasi lemak, bihun goreng dan mee goreng manakala hari seterusnya bank makanan akan dilengkapi stok seperti minuman 3 in 1, makanan kering seperti biskut, roti dan makanan lain bergantung pada penyumbang.

Difahamkan 200 pelajar itu adalah antara yang dipilih di peringkat awal dan akan bertambah bergantung pada keperluan.

Pelajar, Nurtasni Mazlan, 20 berkata, dia berterima kasih kerana terpilih menerima sumbangan makanan memandangkan dia datang dari keluarga susah kerana bapanya hanya penjaja kuih manakala ibunya hanya suri rumah.

“Dengan adanya bank makanan saya tak perlu berlapar lagi, dan membantu saya lebih fokus kepada pelajaran,” katanya.

Rakannya, Nik Nur Alia Sofia Muhd Hatta, 20 berkata, program itu bagus kerana biasanya pelajar akan kehabisan wang di hujung bulan.

Menurutnya, dengan mengambil stok makanan di pusat pengumpulan mampu mengelakkan pelajar mengikat perut.

“Ada pelajar malu mengakui dari keluarga susah oleh itu dengan dan ambil sendiri makanan, mereka rasa lebih selesa,” katanya.

Bagi mana-mana pihak yang berminat menyumbang juga boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Machang di talian 09-9762091 (Mohd Zaidi Zakaria).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 6:18 PM