NOR Rohaida Mahassan memberi susu kepada anaknya. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
NOR Rohaida Mahassan memberi susu kepada anaknya. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


MUHAMAD Ammar Hafiz Mohd Suhaimi, lima tahun hanya mampu baring sepanjang masa dan tidak boleh bercakap selain mengalami masalah kabur di kedua-dua belah mata.

Ibunya, Nor Rohaida Mahassan, 27, berkata anak sulungnya itu disahkan menghidap Cerebral Palsy (CP) dan jantung berlubang sejak berusia enam bulan.

Menurutnya, keadaan anaknya itu menyebabkan dia tidak pernah meninggalkan Muhammad Ammar Hafiz sendirian kerana bimbang diserang sawan pada bila-bila masa dan bergantung sepenuhnya dengan ubat setiap hari.

“Anak saya perlu minum susu khas sebanyak enam kali sehari setiap tiga jam melalui tiub yang dipasangkan ke hidungnya sebagai makanan harian.

“Bagaimanapun, wang bantuan yang diperolehi tidak mencukupi kerana kos susu serta lampin pakai buang melebihi RM500 sebulan dan itu tidak termasuk kos sewa kereta berulang alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk berjumpa pakar jantung dan neurologi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Kala, di sini.

Namun mereka bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberikan bantuan RM350 sebulan, sekaligus dapat meringankan beban untuk menampung keperluan membeli susu dan lampin pakai buang anaknya.

“Walaupun pada awalnya sukar untuk saya dan suami (Mohd Suhaimi Mohamad Yusuf, 35) menerima kenyataan anak kami menghidap CP, namun kami tidak pernah menyalahkan takdir sebaliknya menganggap ini adalah anugerah terindah.

“Menjaga Muhammad Ammar Hafiz bukan bebanan buat kami. Walaupun mempunyai impian melihat dia membesar seperti kanak-kanak lain namun saya sedar dia hanya mampu berbaring atas tilam dan menggunakan isyarat mata untuk berbicara,” katanya.

Nor Rohaida berkata suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan upah RM40 sehari dan mereka juga mempunyai seorang lagi anak, Nur Ammara Husna yang berusia tujuh bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 1:59 PM