Lambakan ikan kembung. FOTO NOR FARHANI CHE AD
Lambakan ikan kembung. FOTO NOR FARHANI CHE AD
Nor Farhani Che Ad


HAMPIR 200 nelayan di Kuala Muda, Kedah resah apabila terpaksa berdepan dengan masalah lambakan ikan kembung bersaiz kecil sejak dua minggu lalu.

Situasi itu menyebabkan harga ikan kembung berkenaan di kawasan itu jatuh sehingga 70 sen sekilogram sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan.

Zabidi Abas, 42, berkata keadaan itu berlaku selepas kebanyakkan pemborong ikan sejuk beku menghentikan pengambilan ikan kembung di kawasan itu berikutan jumlahnya yang banyak.

“Biasanya ikan ini akan dijual kepada pemborong sejuk beku di sekitar Pulau Pinang dan Perak, namun mereka menghentikan pengambilan ikan kembung ekoran jumlah yang banyak.

“Nelayan terpaksa mengambil inisiatif menjual sendiri hasil tangkapan mereka, ada masanya habis, kadang-kadang tak habis jual,” katanya.

Razak Yahya, 38, berkata, bagi mengelakkan pembaziran, nelayan terpaksa menjual lebihan ikan kembung kepada perusahaan baja ikan.

“Kami terpaksa menjual ikan kepada pengusaha baja ikan supaya ikan yang tinggal tidak dibuang begitu saja.

“Dengan jualan itu, kami masih dapat memperolehi pendapatan dengan jualan sebanyak 50 sen bagi sekilogram ikan,” katanya.

Zulkifli Abdul Hamid, 35, terdapat pemilik bot memilih tidak turun ke laut untuk beberapa hari bagi menampung kos minyak yang dikatakan tidak setimpal dengan pendapatan yang mereka perolehi.

“Kami lihat pada keadaan, sekiranya ikan kembung bersaiz kecil terlalu banyak dan hasil tangkapan tidak habis dijual, keesokkan harinya kami tidak akan turun ke laut.

“Kos minyak untuk turun ke laut adalah sebanyak RM400 iaitu lebih tinggi daripada pendapatan yang kami perolehi ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 10:48 AM