MOHAMAD Hasan (kiri) dan Hishammuddin dilihat layak memegang jawatan TPM. FOTO NSTP
MOHAMAD Hasan (kiri) dan Hishammuddin dilihat layak memegang jawatan TPM. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling


KETIKA pemimpin parti dalam Perikatan Nasional (PN) menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan individu yang layak menganggotai Kabinet kerajaan baharu, timbul persoalan siapa pula yang akan dilantik ke jawatan nombor dua negara dan kementerian kanan.

Antara nama yang meniti di bibir pemerhati politik pelbagai peringkat ialah Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan lebih mesra dipanggil Mat Hasan selain Ahli Parlimen Semberong Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dilihat calon paling layak dinobatkan Timbalan Perdana Menteri.

Bukan satu yang pelik jika Mat Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Rantau) terlebih dulu dilantik sebagai Senator bagi membolehkan beliau dilantik TPM.

Pemerhati melihat kedua-dua tokoh ini mempunyai aura tersendiri, selain dihormati di dalam parti sebagai senior yang pernah mengetuai negeri dan kementerian selain disenangi oleh ahli di peringkat akar umbi terutama ketika menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Mohamad contohnya, membuktikan dia pemimpin di peringkat negeri yang mampu memimpin parti ketika Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti daripada menjalankan tugas presiden selama enam bulan sejak 18 Disember 2018.

Dalam tempoh itu, Umno bagaikan mendapat sentuhan baharu apabila pelbagai program di peringkat akar umbi digiatkan dan parti itu pula memenangi tiga pilihan raya kecil (PRK) iaitu Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan kawasannya sendiri, iaitu DUN Rantau.

Manakala, Hishammuddin pula mempunyai kekuatan akar umbi sejak menjadi Ketua Pemuda Umno selama 10 tahun sejak 1998 sebelum memberi laluan kepada Khairy Jamaluddin.

Dengan pengalaman sebagai Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan menteri di beberapa kementerian, dia menjadi taruhan Umno membantu Perdana Menteri dalam Kabinet baharu ini.

Desas desus berkaitan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak ‘melobi’ untuk jawatan dalam kerajaan juga diperkatakan banyak pihak.

Ini kerana, beliau dikatakan lebih berminat untuk menjadi Duta Malaysia ke Arab Saudi bertaraf menteri, sesuai dengan pengalaman sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia sebelum ini.

Beberapa nama pemimpin lain turut dikaitkan dengan kementerian kanan termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamed yang disebut-sebut membantu Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Selain itu, nama bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disebut-sebut menerajui Kementerian Pendidikan manakala Ahli Parlimen Tenggara Datuk Dr Adham Baba berkemungkinan dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

Dua Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid dikatakan berpotensi diberi tanggungjawab menjaga Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri berdasarkan pengalaman mereka serta hierarki parti.

Bagaimanapun, senarai akhir siapa yang membarisi Kabinet pertama PN akan diketahui selepas pengumuman Muhyiddin dalam tempoh terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:01 AM