Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

PIHAK bomba mengambil masa lebih tujuh jam untuk memadam kebakaran sebuah kilang memproses bihun dan mi di Jalan Lahar Kepar, Kepala Batas, yang terbakar awal pagi, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kepala Batas bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.45 pagi.

“Sebaik tiba, api sedang marak kerana keadaan angin yang kuat dan sebahagian kilang berkeluasan kira-kira 929 meter persegi itu sudah terbakar.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira sejam bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya hari ini.

Menurutnya, dengan kekuatan lebih 150 pegawai serta anggota bomba, dan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari kawasan berdekatan, operasi memadam kebakaran kilang itu selesai sepenuhnya pada 11 pagi.

Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan lebih 90 peratus struktur bangunan kilang termasuk mesin dan barang-barang kelengkapan memproses bihun serta mi.

Jurucakap itu berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah kebakaran namun pihaknya menunggu laporan penuh pasukan forensik bomba.

“Tiada kemalangan jiwa atau sesiapa cedera dalam kebakaran itu.

“Menurut pemilik kilang itu, 120 daripada 150 pekerja kilang yang terdiri daripada warga asing, ketika ini sedang menjalani kursus ‘team building’ di Ipoh, Perak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 7:12 PM