Ruwaida Md Zain


SEORANG wanita warga tempatan yang hamil empat bulan antara 53 individu ditahan dalam Op Ice Breaker 3.0 di sarang penagihan dadah di sekitar kawasan tanaman sayur di Jalan Kebun, Johan Setia, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam operasi selama 11 jam bermula 3 pagi tadi itu, tiga pengedar dadah turut ditangkap.

“Polis berjaya menangkap tiga pengedar dan 50 penagih dadah warga tempatan atas kesalahan memiliki dadah dan mempunyai rekod dikehendaki atas kesalahan dadah.

“Kesemua suspek termasuk lima wanita berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun itu positif ‘morphine’.

“Polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 50 gram dianggarkan bernilai RM2,000 serta menyita sebuah motosikal Honda bernilai RM3,000,” katanya pada sidang media di lokasi tangkapan di Klang, petang hari ini.

Shamsul Amar berkata, ketika operasi dijalankan seorang daripada suspek cuba melarikan diri dengan motosikal namun berjaya ditangkap.

SHAMSUL Amar (berdiri tengah)  di lokasi tangkapan 53 individu ditahan dalam Op Ice Breaker 3.0 di Jalan Kebun, Johan Setia. FOTO Ruwaida Md Zain
SHAMSUL Amar (berdiri tengah) di lokasi tangkapan 53 individu ditahan dalam Op Ice Breaker 3.0 di Jalan Kebun, Johan Setia. FOTO Ruwaida Md Zain

“Suspek yang cuba melarikan diri itu terjatuh dari motosikal dan cedera pada kepala, kini dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, 52 suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Seorang lagi suspek lelaki ditangkap mengikut Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Polis percaya ada suspek yang ditangkap hari ini, pernah ditangkap sebelum ini dan dijatuhi hukuman kerana kesalahan dadah,” katanya.

Katanya, hasil risikan anggotanya mendapati, sarang penagihan itu pernah di serbu pertengahan tahun lalu dan kembali aktif sejak dua bulan kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 8:02 PM