GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Mahaizura Abd Malik


PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) sedang mengadakan perbincangan dengan lebih 20 syarikat penerbangan yang membawa jemaah umrah Malaysia ke Arab Saudi supaya memberi kelonggaran sama ada membenarkan pemulangan wang mahupun menunda tarikh perjalanan baru.

Ia susulan arahan penggantungan sementara visa umrah dan pelancong oleh Arab Saudi semalam dalam usaha mengawal jangkitan Covid-19.

Presiden PAPUH Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, kebanyakan syarikat sedang mempertimbangkan perkara itu dan masih menunggu arahan rasmi daripada ibu pejabat masing-masing.

“Yang terjejas sekarang adalah syarikat pengendali umrah yang kecil kerana kaedahnya mereka perlu membayar dulu, baru pergi ke Arab Saudi berbeza dengan syarikat besar.

“Bagi membantu mereka, kita cuba usahakan menghubungi dan bertemu satu persatu syarikat penerbangan yang terbabit.

“Masing-masing memberikan kerjasama dan sedang menunggu keputusan daripada ibu pejabat masing-masing,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Bagi penginapan, katanya agak sukar berikutan kebanyakan polisi hotel tidak membenarkan pemulangan wang.

“Hotel agak subjektif kerana pengurusannya persendirian tiada pihak berkuasa yang mengawalnya.

“Mungkin dalam keadaan begini, jika kerajaan Arab Saudi mengeluarkan satu arahan khas ia dapat membantu jemaah yang terkesan,” katanya.

Razali menjangkakan, kira-kira 4,000 jemaah terkandas di Makkah dan Madinah susulan penggantungan sementara visa umrah dan pelancong ke Arab Saudi.

“Saya difahamkan, mereka ditempatkan di lokasi pendaratan masing-masing dan masih menunggu arahan selanjutnya dari pihak berkuasa Arab Saudi.

“Di tanah air pula kita anggarkan kira-kira 300 jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dan sebahagiannya sudah dimaklumkan oleh agensi umrah masing-masing.

“Kita tidak dapat pastikan maklumat tepat berhubung tempoh penggantungan, kemungkinan mengambil masa lama namun saya percaya kerajaan Arab Saudi mempunyai perancangan rapi dalam memastikan jemaah tidak terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

“Jika tempoh ini berlarutan lama, kemungkinan ia akan turut memberi kesan kepada 15,000 bakal jemaah yang akan mengerjakan umrah Mac ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 11:01 AM