Ruwaida Md Zain

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya mensasarkan pakej rangsangan ekonomi yang akan diterima kementerian itu akan dapat membantu pemain industri pelancongan di negara ini.

Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi berkata, pihaknya akan melihat secara terperinci jumlah yang diperlukan oleh pemain industri terutamanya yang terkesan susulan penularan Covid-19.

“Pada waktu ini, kita sedang menghadapi masalah penurunan pelancong masuk ke negara kita dan mengakibatkan sumber ekonomi kita menurun. Oleh kerana ini membabitkan kerugian kewangan, mungkin kita akan bantu daripada segi sumber kewangan.

“Anda tahu wabak virus sekarang ini, orang rasa takut hendak pergi melancong ke luar negara, jadi tempahan hotel, tiket kapal terbang dan sebagainya banyak dibatalkan.

“Pembatalan ini membabitkan jutaan kerugian sumber kewangan, jadi kita akan melihat daripada bantuan kepada pemain industri, mungkin sumber kewangan tetapi kita tidak tahu. Kita akan lihat secara terperinci berapa yang perlu diberikan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pakej ransangan ekonomi yang akan diumumkan minggu depan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menaruh harapan tinggi sama ada pakej itu dapat mencapai hasrat Tahun Melawat Malaysia 2020.

PEMANDANGAN dari udara di Dataran Lang, mercu tanda yang menyambut pelawat yang datang melalui jalan laut.  FOTO Bernama
PEMANDANGAN dari udara di Dataran Lang, mercu tanda yang menyambut pelawat yang datang melalui jalan laut. FOTO Bernama

“Kita tidak mempunyai harapan sebegitu tinggi kerana masalah virus sekarang ini masalah global.

“Apabila masalah global, apa yang saya kata akan sebenar tadi, pelancong ini takut untuk melancong, apabila mereka takut untuk pergi melancong, kita tidak mungkin dapat menepati apa yang kita sasaran untuk kemasukan pelancongan ke negara kita,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari dalam usaha kerajaan mengurangkan impak ekonomi luaran berikutan penularan COVID-19.

Terdahulu Mohammadin dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran dalam bidang Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti oleh Kolej Universiti Lincoln (LUC) di Shah Alam, hari ini.

Beliau yang menerima penganugerahan itu daripada Pro Canselor LUC, Prof Datuk Dr Bibi Farina Abdullah menyifatkan penganugerahan itu adalah penghargaan kepada beliau dan kementerian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 4:59 PM