EBIT Lew. FOTO Instagram
EBIT Lew. FOTO Instagram
Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahaudin


“SAYA sumpah dia (perompak) ditangkap dan mendapat hidayah,” demikian reaksi penceramah terkenal Ebit Lew yang kerugian hampir RM80,000 selepas pejabatnya di Bandar Baru Bangi dipecah masuk penjenayah, awal pagi hari ini.

Bukan itu sahaja, perompak turut meninggalkan pesanan berbunyi ‘ampun ya pak, saya terpaksa’ sebelum melarikan beberapa komputer, dua komputer riba jenama Apple, kamera dan tiga telefon bimbit jenama Apple.

Menurut Ebit, kesedihannya sedikit terubat selepas memikirkan dia berjaya mengislamkan seorang banduan akhir warga Nigeria di Pusat Koreksional Perlis, hari ini.

“Memang sedih sebaik dihubungi kakitangan saya mengatakan pejabat dipecah masuk, tetapi saya mahu berfikiran positif mungkin ada yang lebih baik menunggu.

“Nasib baik hari ini saya berjaya mengislamkan seorang warga Nigeria berusia 40-an yang dijatuhi hukuman gantung atas kesalahan mengedar dadah, jadi terubat sikit kesedihan hati.

“Masih terbayang di ruang mata dia menangis teresak-esak dan mengucap kalimah syahadah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan kejadian itu, Ebit berkata, dia menerima khabar duka itu sebelum memasuki pusat berkenaan untuk ceramah yang dimaklumkan kakitangannya.

“Kakitangan saya sedar jam 8.30 pagi tadi apabila melihat pejabat bersepah kemudian segera menghubungi saya.

“Paling saya terkilan, kamera yang baru dibeli bertujuan merakam ceramah dan dakwah turut hilang bersama wang tunai RM5,000.

“Tiada kesan pintu diumpil, tidak tahu bagaimana mereka masuk berikutan pejabat saya tiada kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Menurutnya, memang wang boleh dicari dan boleh dibeli lagi, namun jumlah kerugian dialaminya agak besar membuatkannya terfikir dua tiga kali.

“Tetapi, saya mahu berfikiran positif, mungkin penje nayah itu dapat ditahan dan saya akan memberi ceramah kepadanya dalam penjara, siapa tahu perancangan Allah.

“Ya Allah saya mengadu sedih dan susahku hanya pada-Mu. Mohon semua doakan supaya kejadian ini menjadi asbab kebaikan dan hidayah, pasti ada rahmat di sebalik semuanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi, hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang dijalankan mengikut Sekyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 6:11 PM