ANGGOTA bomba melakukan demonstrasi memadam kebakaran di Sebauh, semalam. FOTO Erika George
ANGGOTA bomba melakukan demonstrasi memadam kebakaran di Sebauh, semalam. FOTO Erika George
Erika George


PROGRAM kesedaran kebakaran anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu diyakini cara terbaik bagi mengatasi masalah kebakaran rumah panjang di negeri ini.

Ketua Balai Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Bintulu, Unjar Lum berkata, program interaktif dengan penduduk rumah panjang itu paling berkesan bagi mengurangkan risiko berlaku kebakaran di rumah panjang.

“Dalam program yang kita adakan bersama penduduk di rumah panjang Tuai Rumah Raymond Plen ini, ia ternyata mencapai objektif melalui sambutan menggalakkan daripada penduduk rumah panjang,” katanya.

Unjar berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Mesra Bomba dan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Kemahiran Mara (IKM) Bintulu Bersama Komuniti yang diadakan di Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam Sebauh, semalam.

Dalam program berkenaan, 500 penduduk rumah panjang yang dihuni 53 keluarga itu termasuk penduduk rumah panjang berdekatan hadir.

“Apa yang penting dalam program yang kita anjurkan bersama dengan IKM Bintulu ini ialah pasukan kita menunjukkan demonstrasi tentang bagaimana menggunakan alat pemadam api serta cara menyelamatkan diri semasa berlakunya kebakaran,” katanya.

Katanya, secara tidak langsung program itu membantu dari segi langkah pencegahan serta keselamatan penduduk rumah panjang bagi memastikan mereka mengetahui tindakan yang harus dilakukan sekiranya berlaku kebakaran di rumah panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 2:03 PM