PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika temubual bersama Bloomberg. Foto NSTP / MOHD YUSNI ARIFFIN.
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika temubual bersama Bloomberg. Foto NSTP / MOHD YUSNI ARIFFIN.
Wartawan NSTP


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengkaji semula Perjanjian Air 1962 yang dianggap terlalu mahal menjadikannya rundingan kedua yang dinilai selepas penangguhan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dengan Singapura.

Dr Mahathir dalam temubual dengan Bloomberg berkata, bekalan air adalah antara isu yang perlu diselesaikan dengan Singapura secara diplomatik.

Singapura bergantung kepada Malaysia untuk membekalkan hampir separuh keperluan airnya dan sudah melalui beberapa siri perjanjian bermula pada tahun 1927.

Ia diikuti dengan Perjanjian Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada tahun 2061, memberikan negara itu 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Pada 1990, Singapura, Malaysia dan kerajaan negeri Johor memeterai perjanjian baharu, membolehkan Singapura membina empangan di Sungai Linggiu (cabang Sungai Johor) bagi memproses sendiri air, dan menaikkan kapasiti pengeluaran air mereka.

Sebagai ganti Singapura membayar pampasan RM320 juta kepada Malaysia dan Kerajaan Johor, sebagai nilai tapak empangan didirikan.

Timbal balas kepada perjanjian itu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) diberi kontrak membekal gas asli dari Terengganu ke Singapura.

Dalam dua siri pertemuan dengan kerajaan sebelum ini, Singapura bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga tahun 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun selepas itu.

Kerajaan Malaysia mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 sehingga 2011, tetapi negara republik itu menolak.

Isu air Malaysia-Singapura menjadi perbalahan umum, dengan kedua-dua negara mengiklankan keluhan masing-masing dalam akhbar utama serantau.

Malah, pada suatu ketika, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew pernah mengancam untuk menghantar tentera ke Malaysia jika cuba memansuhkan perjanjian air itu.

Dr Mahathir berkata akan bersahabat dengan Singapura dan negara lain sambil memberi tumpuan kepada tawaran yang adil serta memastikan imbangan.

“Saya fikir kita boleh mendapat manfaat daripada satu sama lain. Kami memerlukan kepakaran Singapura. Ramai rakyat Singapura melabur di Malaysia kerana ia lebih murah di sini,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 1:41 PM