DZULKEFLY AHMAD
DZULKEFLY AHMAD
Amir Abd Hamid


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menerima tambahan 26 pengimbas suhu bagi mengenal pasti dan mengesan individu yang mempunyai gejala Covid-19.

Covid-19 yang bermaksud ’Penyakit Virus Korona’ adalah nama rasmi bagi novel koronavirus 2019 selepas diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan alat itu kepada 80 berbanding 54 alat pengimbas suhu sebelum ini.

"Peralatan berkenaan akan segera ditempatkan di semua pintu masuk negara," katanya dalam sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung situasi terkini jangkitan 2019-nCoV dan pengesanan kes baharu di Malaysia, di Putrajaya tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, Malaysia akan memperketatkan saringan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) bersempadan Singapura.

"Ia antara perkara kita bincangkan dengan Singapura dalam Jawatankuasa Kerja Bersama dibentuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kesihatan Singapura susulan persidangan video kelmarin.

"Seramai 300,000 pengguna melintas di laluan sempadan kedua-dua negara setiap hari untuk rutin seperti perniagaan dan sebagainya.

"Mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan dalam tempoh seminggu antara Timbalan Menteri Kesihatan kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu, katanya, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dilaporkan sehingga semalam masih kekal sebanyak 18 kes.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 4:53 PM