NOR Azizi bersama kerusi dihasilkan. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
NOR Azizi bersama kerusi dihasilkan. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PENIAGA di Kampung Padang Siding, Arau, memanfaatkan tayar terpakai menjadi kerusi santai yang unik dan selesa untuk kegunaan di setiap kediaman.

Nor Azizi Abu Bakar, 40 berkata, idea menghasilkan kerusi itu tercetus apabila rakannya memaklumkan pernah ternampak sofa atau bangku diperbuat dari tayar terpakai di media sosial.

“Di hadapan rumah memang ada longgokan tayar kerana saya dan isteri menggunakannya untuk menanam pokok hiasan.

“Apabila rakan memaklumkan demikian saya teruja dan mula mencari rujukan di Internet dan YouTube sebelum berjaya menghasilkannya buat pertama kali pada 2016,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Nor Azizi berkata, dia hanya menggunakan tayar terpakai, tali dan pita pelekat, selain gerudi sebagai alat penebuk lubang.

“Satu kerusi memerlukan tiga tayar dengan satu daripadanya diukir dan dipotong khas untuk dijadikan penyandar.

“Saya menjualnya secara set dengan setiap satu mempunyai lima kerusi termasuk meja bulat khas pada harga RM400 tidak termasuk kos penghantaran,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini dia sudah menjual lebih 50 set dan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pengusaha rumah tumpangan.

“Saya pernah menghantar set kerusi kepada pelanggan di Pahang.

“Malah, ada pengusaha rumah tumpangan di Pulau Langkawi, Kedah turut menggunakannya untuk diletakkan di anjung rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:05 PM