NAJIB pada prosiding  bela diri  terhadap tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd di Mahkamah Tinggi. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
NAJIB pada prosiding bela diri terhadap tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd di Mahkamah Tinggi. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
BERNAMA

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa beliau lebih suka menerima derma daripada kerabat Arab Saudi berbanding penderma tempatan.

Ahli Parlimen Pekan berusia 67 tahun itu berkata beliau lebih selesa jika tidak menerima sumbangan korporat kerana tidak mahu terhutang budi kepada sesiapa.

“Sebagai Presiden Umno ketika itu, saya mahukan sumber pendapatan yang menjadikan saya bebas daripada penderma lain, itu bermakna saya tidak mempunyai IOU (I owe you atau saya berhutang dengan anda) dengan sesiapa saja,” kata bekas menteri kewangan itu ketika pemeriksaan balas oleh peguamnya, Harvinderjit Singh.

Najib juga berkata derma RM2.6 bilion daripada kerabat Arab Saudi itu adalah bagi memastikan “kebebasan” dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Kepada soalan lain, Najib berkata idea untuk membuka akaun dengan AmBank pada 2010 berasal daripada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho, untuk menerima sejumlah wang yang besar daripada kerabat Arab Saudi.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semalam menamatkan pemeriksaan balasnya terhadap Najib.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan Najib, yang memberi keterangan sejak 3 Disember tahun lalu, meninggalkan kandang saksi.

Najib memberikan keterangan bagi membela dirinya yang berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, iaitu tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan penggubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah guna kuasa membabitkan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:01 AM