GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PERLIS menafikan wabak koronavirus baharu mula tular di negeri itu ekoran penahanan dua pelancong warga Hong Kong di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar ketika dalam perjalanan ke Thailand, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis, Teh Chai Ann berkata, perkara itu disahkan selepas mendapat pengesahan dalaman daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis.

“Kes berkenaan tular di aplikasi WhatsApp dengan mengatakan rakyat Hong Kong didapati positif koronavirus baharu dan sedang dalam perjalanan ke Thailand menggunakan perkhidmatan KTMB Padang Besar.

“Namun, pihak JKN mengesahkan setakat ini pelancong terbabit bukan menghidap koronavirus baharu. Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hari ini tersebar gambar sebuah ambulans menunggu di perkarangan Stesen KTMB Padang Besar dan dua pelancong berusia 50-an sedang ditahan selepas disyaki positif koronavirus baharu.

Mengulas lanjut, Teh berkata, pihaknya menasihati penduduk di negeri ini supaya tidak panik dengan menyebarkan maklumat tidak sahih.

“Kerajaan negeri juga mengambil pendekatan serius memantau keadaan terutama di semua pintu masuk negara di Padang Besar, Wang Kelian dan Jeti Penumpang Kuala Perlis bagi mengekang penularan wabak koronavirus baharu ini.

“Kita juga sentiasa bekerjasama dengan JKN bagi mengetahui perkembangan semasa (koronavirus baharu) di negeri ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 6:20 PM