PELANCONG yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud hari ini. Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menafikan terdapat pesakit yang dijangkiti Koronavirus menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
PELANCONG yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud hari ini. Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menafikan terdapat pesakit yang dijangkiti Koronavirus menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Zaid Salim


JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan kanak-kanak warga China berusia lima tahun yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini, bebas dari wabak koronavirus.

Pengarahnya, Dr Azimi Yunus berkata, kanak-kanak perempuan itu hanya mengalami demam biasa dan sakit tekak dan diberikan rawatan biasa oleh pihak hospital.

Katanya, orang ramai khususnya rakyat negeri ini jangan panik dengan berita yang tidak sahih apabila mendakwa kanak-kanak terbabit dihidapi wabak koronavirus sebagaimana yang ditularkan menerusi WhatsApp, hari ini.

"Kanak-kanak itu dimasukkan ke HSNZ pada jam 6.15 petang tadi dan pemeriksaan mendapati, kanak-kanak berkenaan tidak memenuhi kriteria sebagai pesakit disyaki PUI (Patient Under Investigation) atau sebagai pesakit koronavirus dan dirawat sebagai pesakit demam biasa sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, seorang kanak-kanak warga China disyaki menghidap koronavirus ketika mendapat rawatan di Hospital Kemaman.

Bagaimanapun, ibu bapa kanak-kanak terbabit yang tidak faham (masalah komunikasi bahasa) penjelasan doktor ketika menerima rawatan bertindak membawa pulang semula anaknya ke rumah mereka di bandar ini dan bukan melarikan diri dari hospital sebagaimana yang tular.

Difahamkan, ibu bapa kanak-kanak terbabit bekerja di ECRL Kemaman sejak sebulan lalu.

Berikutan itu, pihak hospital meminta bantuan polis bertemu ibubapa kanak-kanak terbabit di ECRL sebelum menghantar kanak-kanak itu ke HSNZ menggunakan ambulans.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 12:19 AM