ZULKARNAIN (gambar kecil) maut motosikal kuasa tinggi dinaiki terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca
ZULKARNAIN (gambar kecil) maut motosikal kuasa tinggi dinaiki terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut sejurus motosikal ditunggangnya dirempuh kereta di Kilometer 13, Jalan Kuala Selangor - Kuala Lumpur berhampiran Bukit Rotan, Kuala Selangor, semalam.

Dalam kejadian 12.45 tengah hari itu, mangsa, Zulkarnain Abas, 50, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Selangor.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, mangsa menunggang motosikal Honda CBR 250 dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuala Selangor.

“Mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan membabitkan jalan yang masih dalam proses pembinaan. Akibatnya dia dilanggar kereta Toyota Camry dipandu lelaki berusia 41 tahun.

“Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 4:08 PM