SEBUAH daripada dua rumah yang musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
SEBUAH daripada dua rumah yang musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


DUA rumah dan motosikal musnah dalam kebakaran di Lorong Merah 3, Kampung Berjaya, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, penghuni kediaman berkenaan sempat menyelamatkan diri dengan bantuan penduduk kampung.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 12.15 petang.

Katanya, sepasukan anggota diketuai Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah tiba di lokasi pada 12.20 petang dan berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain yang berhampiran.

“Operasi turut dibantu lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS). Anggota menggunakan dua saluran dengan masing-masing dua pancutan daripada jentera di bahagian kiri dan kanan untuk memadamkan kebakaran.

“Api dikawal pada 12.39 tengah hari, namun dua rumah kelas B (papan dan batu) musnah 80 peratus dan 90 peratus manakala, motosikal Honda EX-5 musnah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, api merebak dengan cepat disebabkan faktor angin dan cuaca panas.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 4:21 PM