Ahmad Rabiul Zulkifli

SEPATUTNYA dia bergelar arkitek namun kerana minat mendalam terhadap seni batik mendorong pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Bina universiti tempatan menjalankan perusahaan batik terap sejak lima tahun lalu di Terengganu.

Batik terap atau batik cop adalah kaedah menghasilkan batik dengan menggunakan blok pengecop sejak lima tahun lalu.

Uniknya, kerana anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak mempunyai sebarang latar belakang di dalam bidang berkenaan dan mempelajari sendiri teknik membuat batik terap selama setahun sebelum dibimbing penggiat dan pembuat batik terap di Terengganu.   

Haniza Hisham, 35, berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menjalankan kegiatan membuat batik terap kerana ia kemahiran yang sukar dikuasai dan biasanya perusahaan itu dijalankan secara turun temurun anak jati Terengganu.

Haniza melihat batik terap yang dihasilkan di Bengkel Batik Nysa Kapas dekat rumahnya di Kampung Serada, Kuala Terengganu. Foto Ghazali Kori  
Haniza melihat batik terap yang dihasilkan di Bengkel Batik Nysa Kapas dekat rumahnya di Kampung Serada, Kuala Terengganu. Foto Ghazali Kori  

“Niat asal saya hanya untuk menjualnya sahaja dan sempat menjalankan perniagaan menjual batik terap itu selama setahun.

“Tetapi kerana sering terputus bekalan batik yang diambil daripada Indonesia pada musim tengkujuh, saya mula merancang untuk mengeluarkan batik sendiri. 

“Saya tidak boleh mengharapkan bekalan batik terap yang diambil dari Indonesia sahaja kerana permintaan terhadap batik yang dijual semakin meningkat, oleh itu bagi mengelakkan terputus bekalan dan mengecewakan pelanggan saya perlu mengeluarkan batik terap sendiri. 

“Pengajian dalam bidang seni bina sedikit sebanyak membantu saya menghasilkan corak batik baru yang menarik minat pelanggan seterusnya merancakkan lagi perniagaan itu,” katanya ketika ditemui di Bengkel Batik Nysa Kapas dekat rumahnya di Kampung Serada, Kuala Terengganu. 

Haniza atau lebih mesra dipanggil Nisa itu berkata, dia mengambil masa yang lama untuk memahami dan menguasai keseluruhan teknik membuat batik terap kerana proses pembuatannya sangat cerewet.  

Haniza menunjukkan cara melakukan kerja mengecop batik kepada pekerja di Bengkel Batik Nysa Kapas dekat rumahnya di Kampung Serada, Kuala Terengganu. Foto Ghazali Kori  
Haniza menunjukkan cara melakukan kerja mengecop batik kepada pekerja di Bengkel Batik Nysa Kapas dekat rumahnya di Kampung Serada, Kuala Terengganu. Foto Ghazali Kori  

“Proses pembuatan batik terap itu mempunyai lima langkah yang terperinci dan sangat rumit namun bersyukur kerana berkat kesabaran dan tunjuk ajar ramai penggiat batik di negeri ini, saya mampu mengeluarkan batik terap rekaan sendiri.  

“Semua corak pada batik terap yang dikeluarkan ialah corak rekaan sendiri dan ia lebih berkonsep moden dan menepati cita rasa golongan muda,” katanya.  

Tambahnya, dia bertuah kerana suaminya, Abdul Majid Ibrahim, 48, sering memberi dorongan untuk meneruskan kegiatan itu sehingga mampu mengeluarkan sebanyak 150 hingga 250 pasang batik sebulan.  

“Sekarang  proses membuat batik terap itu dijalankan lima pekerja dalam kalangan penduduk setempat yang dilatih saya sendiri.

“Tugas saya sekarang ialah menghasilkan rekaan batik terbaru bagi memenuhi permintaan pasaran di pantai barat termasuk Kuala Lumpur. 

“Saya bersyukur kerana batik terap yang dikeluarkan mendapat permintaan tinggi dan diterima baik pengguna walaupun banyak pembaharuan daripada segi warna dan corak yang diketengahkan berbanding batik terap tradisional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 3:38 PM