Mohd Husni Mohd Noor


JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan 27 elaun sudah dimansuhkan ketika pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SSB) dan sembilan elaun dimansuhkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 kerana tidak menepati prinsip dan kriteria pemberian.

Dalam kenyataan hari ini, JPA menjelaskan urusan pemansuhan elaun bukanlah perkara baharu dan kajian pengukuhan pemberian

elaun akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kerajaan akan sentiasa menimbangkan permohonan serta membuat kajian semakan elaun keseluruhan perkhidmatan awam berdasarkan prinsip tertentu.

“Dalam melaksanakan kajian elaun, pertimbangan dan perhatian secara berhati-hati perlu diberikan kerana ia memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Prinsip pemberian elaun yang ditetapkan sejak pelaksanaan SSB pada 1992 dan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah prinsip tidak sejagat, tidak kekal, tidak biasa dan kesaksamaan.

“Prinsip tidak kekal (non-permanent) menentukan bahawa elaun diberi secara sementara, boleh ditarik balik, diberhentikan bayarannya atau dimansuhkan jika sesuatu elaun itu tidak lagi relevan atau tidak lagi menepati kriteria tertentu pemberian elaun itu,” katanya.

Katanya, prinsip itu juga menentukan elaun boleh diberi mengikut suatu tempoh tertentu justeru semua elaun dalam perkhidmatan awam adalah tidak bersifat kekal dan boleh ditarik balik termasuklah Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Dalam pada itu, JPA memaklumkan pemberian elaun adalah berasaskan beberapa kriteria termasuk kos sara hidup, tanggungjawab tambahan, bayaran balik perbelanjaan, risiko kerja, kesusahan, kepakaran, kemahiran atau kompetensi tambahan, keanehan atau kejelikan tugas, kepentingan pengekalan sesuatu perkhidmatan dan galakan.

“Mengikut kajian, unjuran semasa tanggungan kewangan kerajaan bagi 2018 ialah RM899.32 juta dan tanggungan ini akan terus meningkat kepada RM1.24 bilion pada 2022.

“Berdasarkan kepada asas pertimbangan di atas, pemberian BIPK sewajarnya dimansuhkan secara menyeluruh kepada semua penyandang dalam 33 skim perkhidmatan yang terbabit.

“Bagaimanapun, kerajaan memutuskan bahawa pembayaran BIPK masih dikekalkan kepada penerima sedia ada mengikut kadar sedia ada dan kerajaan akan terus menanggung kos pembayaran BIPK kepada penyandang sedia ada sehingga pegawai meninggalkan perkhidmatan,” katanya.

Baru-baru ini, JPA memaklumkan BIPK bagi 33 skim perkhidmatan dimansuhkan kerana tidak lagi memenuhi kriteria ciri penawaran rendah serta pengisian jawatan yang sukar dilakukan.

Pemansuhan BIPK itu hanya membabitkan pelantikan baharu yang dilantik mulai 1 Januari 2020.

Antara skim perkhidmatan itu ialah pegawai kawalan trafik udara, pegawai perubatan, pembantu perubatan, penerbit rancangan, arkitek, arkitek laut, jururawat, jurutera, jurutera laut, pegawai farmasi, pegawai perikanan, pegawai pergigian, pegawai undang-undang, pegawai penyelidikan serta juruukur bahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 11:42 PM