ORANG ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan gerhana matahari separa di Planetarium Negara. FOTO Supian Ahmad
ORANG ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan gerhana matahari separa di Planetarium Negara. FOTO Supian Ahmad
Fairul Asmaini Mohd Pilus

asmaini @nstp.com.my

LEBIH 1,000 pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena istimewa, gerhana matahari separa di Planetarium Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Kebanyakan mereka hadir seawal 10 pagi untuk menunggu waktu gerhana matahari separa disaksikan di ibu negara bermula 11.20 pagi.

Kakitangan kerajaan, Nurul Azlina Omar, 39, turut tidak ketinggalan membawa anak sulungnya, Nurul Kayishah Mohd Khaidir, 5, untuk menyaksikan sendiri fenomena berkenaan.

“Memang cuaca panas terik tetapi Nurul Kayishah tidak merengek dan dia kelihatan begitu bersemangat menunggu giliran untuk melihat gerhana itu menggunakan teleskop yang disediakan pihak Planeterium Negara.

“Mujurlah kami datang awal kerana barisan menunggu masih tidak terlalu panjang. Semoga dengan pendedahan sebegini, Nurul Kayishah akan lebih meminati bidang Sains apabila dia mula bersekolah kelak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil juga tidak ketinggalan menyaksikan gerhana itu bersama pengunjung.

Ketika ditemui media, Fahmi berkata, fenomena itu adalah antara masa terbaik untuk mendedahkan golongan muda dengan bidang sains dan teknologi.

“Hari ini istimewa kerana tidak semua negara di dunia yang dapat menyaksikan gerhana matahari anulus dan gerhana matahari separa.

“Saya gembira kerana ramai ibu bapa yang sanggup meluangkan masa membawa anak-anak ke Planetarium Negara bagi menyaksikan fenomena istimewa itu.

“Semoga selepas ini golongan muda akan lebih meminati sains dan teknologi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 1:46 PM