GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


SUDAHLAH disamun, ditumbuk pula hingga longlai. Itu malang menimpa seorang lelaki apabila disamun dua lelaki dalam kejadian di Kuala Nerus, malam tadi.

Mangsa diheret masuk ke dalam kenderaan miliknya, sebelum dibawa hingga ke Marang dan ditumbuk serta ditinggalkan di tepi jalan.

Dalam kejadian kira-kira 12.05 tengah malam tadi, mangsa berusia 22 tahun sedang menunggu rakannya di tepi keretanya dekat Jalan Semarak, di Kuala Nerus, sebelum didatangi dua lelaki menaiki kereta Proton Waja.

Sumber berkata, sebaik menghentikan kenderaannya, dua suspek itu dikatakan menarik mangsa masuk ke dalam kenderaannya di bahagian belakang, sebelum kereta itu dipandu suspek menuju ke Bukit Kor, Marang.

“Sepanjang perjalanan itu, mangsa dikatakan diugut dan dipaksa untuk menyerahkan wang dan barangan berharga miliknya kepada penjenayah itu.

“Mangsa cuba mempertahankan diri dan mahu keluar daripada kenderaannya menyebabkan berlaku pergelutan sebelum dia ditumbuk di muka beberapa kali,” katanya.

Kata sumber, suspek kemudian memberhentikan kenderaan mangsa di tepi jalan di Bukit Kor, Marang dan sekali lagi membelasah mangsa di bahagian badan.

“Kejadian menyebabkan mangsa mengalami bengkak dan sakit pada muka dan badan.

“Melihat keadaan mangsa yang lemah, suspek kemudian merampas beg duit mangsa dan melarikan wang tunai RM70 serta beberapa barangan berharga.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan meninggalkan mangsa yang longlai di dalam kereta di tepi jalan berkenaan,” katanya.

Berikutan kejadian mangsa yang bekerja sebagai pekerja am, di Kuala Nerus, menggagahkan diri memandu keretanya ke balai polis untuk membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan usaha memburu suspek giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 6:48 PM