MOHD Ismail (kiri) bersama anggota Task Force Lejang IPD Kubang Pasu melihat motosikal curi ditemui semula hasil penahanan dua suspek. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
MOHD Ismail (kiri) bersama anggota Task Force Lejang IPD Kubang Pasu melihat motosikal curi ditemui semula hasil penahanan dua suspek. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


SEBANYAK 11 kes curi motosikal di Jitra dan Arau selesai dengan tertangkapnya dua beradik dikenali sebagai Geng Anak Dahman pada 4 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 26 tahun itu ditahan di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam ketika Ops Lejang.

Menurutnya, hasil penahanan suspek, polis menemui semula empat motosikal dilaporkan hilang di kawasan Changlun dan sebuah lagi di Arau, Perlis.

“Sekurang-kurangnya 11 kes kecurian motosikal di daerah ini dan Arau dapat diselesaikan hasil penahanan suspek.

“Kedua-dua suspek mempunyai tujuh dan enam rekod kesalahan lampau berkaitan kesalahan sama dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, malah kedua-dua suspek pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) atas kesalahan sama pada 2016.

Katanya, mereka jelas tidak serik malah dikatakan melakukan kegiatan sama sekali lagi tahun lalu selepas lima bulan dibebaskan.

“Kedua-dua suspek masih direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 4:33 PM