KANAK-KANAK lelaki Orang Asli,Rawi Samari, 10, hilang ketika berada di sebuah pondok bersama neneknya di Kampung Agek, Hulu Sungai Temenggor. FOTO Ihsan PDRM
KANAK-KANAK lelaki Orang Asli,Rawi Samari, 10, hilang ketika berada di sebuah pondok bersama neneknya di Kampung Agek, Hulu Sungai Temenggor. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Rashidi Yusuf

KANAK-KANAK lelaki Orang Asli berusia 10 tahun disedari hilang ketika berada di pondok bersama neneknya di Kampung Agek, Hulu Sungai Temenggor, Gerik, 1 pagi kelmarin.

Difahamkan, Rawi Samari disedari hilang oleh neneknya sebaik tersedar dari tidur sebelum meminta bantuan keluarga mencari mangsa di sekitar kawasan berkenaan,

Namun, mangsa gagal ditemui menyebabkan keluarganya membuat laporan polis 3.42 petang semalam sebelum operasi mencari digerakkan polis dan bomba.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah digerakkan 9 pagi hari ini membabitkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Selepas taklimat, kesemua pegawai dan anggota yang menyertai SAR bergerak ke lokasi dengan menaiki bot dari Pengkalan Trojen, Gerik, dan sehingga kini mangsa masih belum ditemui.

“Hasil siasatan awal iaitu temubual dengan ahli keluarga mangsa mendapati mangsa mempunyai tabiat pelik iaitu sering bangun dan berjalan di dalam tidur pada setiap malam,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya yang menerima maklumat dari polis sudah memulakan operasi sejak pagi tadi.

Katanya, pencarian di lokasi berdekatan dengan Sungai Temenggor itu turut membabitkan kegunaan aset lain seperti bot aluminium milik Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama dan Kamunting.

Menurutnya, operasi diketuai Ketua Operasi, Azizul Aswad Asaris itu masih dijalankan dan perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 12:58 PM