Anggota polis memeriksa mayat jurugambar yang ditemui tertiarap di Flat Desa Ilmu, Kota Samarahan.  Foto Melvin Joni
Anggota polis memeriksa mayat jurugambar yang ditemui tertiarap di Flat Desa Ilmu, Kota Samarahan. Foto Melvin Joni
Melvin Joni


JURUGAMBAR ditemui mati tertiarap tanpa pakaian di bilik tidur di rumah sewanya di Flat Desa Ilmu, Kota Samarahan semalam.

Mangsa yang berusia 36 tahun itu dikatakan tidak hadir bekerja sejak Selasa lalu menyebabkan rakan sekerjanya bimbang.

Berikutan itu, rakannya ke kediaman mangsa sebelum menemuinya tertiarap di rumah sewa terbabit.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, mangsa yang berasal dari Selangor itu dijumpai tidak sedarkan diri oleh rakannya itu kira-kira 11 pagi.

Menurutnya, rumah mangsa berjaya dimasuki rakannya menerusi pintu koridor yang dipanjat mereka selepas pintu depan rumah lelaki itu berkunci dari dalam.

“Susulan itu, mereka menghubungi polis untuk tindakan lanjut dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut ke lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa juga bekerja sebagai jurusolek sambilan dan masih bujang serta tinggal seorang diri di rumah sewa itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dan tiada kesan pergelutan atau senjata dijumpai di dalam bilik tidur serta di rumah sewa berkenaan.

Katanya, tiada kesan cedera atau pendarahan dilihat pada badan mangsa.

“Mayatnya sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk proses bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 3:23 PM