SULTAN Sharafuddin (kanan) menerima replika pesawat Air Asia yang mempunyai livery UPM Tony (tengah). FOTO Rosela Ismail
SULTAN Sharafuddin (kanan) menerima replika pesawat Air Asia yang mempunyai livery UPM Tony (tengah). FOTO Rosela Ismail
Mohd Hilmie Hussin


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu setiap graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) memiliki jiwa kepemimpinan dalam diri masing-masing.

Baginda yang juga Canselor UPM bertitah, kejayaan graduan bukan hanya untuk diri sendiri, malah demi kepentingan generasi akan datang supaya masyarakat madani dapat diwujudkan.

“Graduan UPM mesti menjadi pemimpin yang dapat menerajui isu kelestarian sejagat seperti pemuliharaan alam sekitar dan sumber asli yang menjadi tanggungjawab warga global,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-43, di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang, hari ini.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Gelaran Profesor Emeritus pula dianugerahkan kepada Tan Sri Dr Nik Mustapha R Abdullah dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan serta Datuk Dr Mohd Sham Kasim (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan).

Turut menerima anugerah sama, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Baharumshah (Fakulti Ekonomi dan Pengurusan), Prof Dr Maimunah Ismail (Fakulti Pengajian Pendidikan) dan Prof Dr Wan Ishak Wan Ismail (Fakulti Kejuruteraan).

Seramai 6,015 graduan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen UPM kali ini.

Majlis turut mencatatkan rekod penerima ijazah doktor falsafah (PhD) paling ramai di negara ini, iaitu 632 orang.

Seramai 1,554 menerima ijazah sarjana, ijazah sarjana muda (3,337) dan diploma (492) merangkumi pelbagai bidang pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 2:48 PM