KEADAAN lori yang terhumban ke dalam gaung sedalam 10 meter berhampiran sungai di jalan Ladang Penyuan 2 Murum, Belaga. FOTO Erika George
KEADAAN lori yang terhumban ke dalam gaung sedalam 10 meter berhampiran sungai di jalan Ladang Penyuan 2 Murum, Belaga. FOTO Erika George
Erika George


LELAKI maut apabila lori sarat dengan muatan baja yang dipandunya terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter di Jalan Ladang Penyuan 2, Murum, Belaga, semalam.

Ketika kejadian 10.30 pagi itu, mangsa Naming Anding, 36, sedang menaiki bukit sebelum lori jenis Nissan yang dipandunya mengalami masalah dan mengundur semula sebelum terbabas lalu terjunam ke dalam gaung berhampiran sungai.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu mengesahkan, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada bahagian kepala dan badan.

Bagaimanapun katanya, seorang kelindan dalamnya yang juga anak lelaki mangsa berusia 19 tahun, tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati semasa kejadian, mangsa sedang menaiki bukit, sebelum lori terbabit mengalami masalah brek,” katanya.

Alexson tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berpunca muatan berlebihan hingga menyebabkannya mengundur dan terbabas.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Asap sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

Katanya lagi, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 11:44 AM