FARIDAH Aryani (kanan) menyerahkan borang kepada Penolong Pegawai Pengurus ketika majlis Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai. FOTO Hairul Anuar Rahim
FARIDAH Aryani (kanan) menyerahkan borang kepada Penolong Pegawai Pengurus ketika majlis Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


“SAYA calon pengganti,” kata Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 45, berhubung pencalonannya sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Tanjung Piai, hari ini.

Ibu tunggal kepada empat anak itu berkata, dia dicalonkan pada saat akhir bagi menggantikan Pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail.

Katanya, keputusan dibuat saat akhir oleh Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) selepas Shamsubahrin dirawat di hospital akibat sakit jantung.

Menurutnya, jika terpilih dia mahu memperjuangkan nasib pemandu teksi dan e-hailing di seluruh negara.

“Selain itu, saya juga ingin membela golongan B40 yang hidup terhimpit.

“Sebagai ibu tunggal, saya terkesan dengan polisi kerajaan yang tidak mesra pemandu teksi dan e-hailing di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Dewan Jubli Intan, hari ini.

Menurutnya, dia yang juga juruaudit bebas pernah melalui fasa kehidupan sukar dan memperoleh pendapatan sampingan sebagai pemandu e-hailing.

Sementara itu kelibat Shamsubahrin tidak kelihatan selepas tamat tempoh penamaan calon jam 10 pagi ini.

Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd Hussain berkata, Faridah calon kedua yang dipilih pihaknya dan perkara itu baharu sahaja ditentukan pada malam sebelum penamaan calon.

“Ia keputusan singkat dibuat GTSM memandangkan calon utama yang bakal bertanding tidak mempunyai tahap kesihatan baik.

“Untuk makluman, perkara ini ditentukan dalam keadaan yang singkat, sebab calon utama kami tiba-tiba diserang sakit jantung dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital swasta di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, Shamsubahrin diserang sakit jantung pada 1 pagi tadi sebelum bertolak ke Tanjung Piai untuk penamaan.

“Kami terus dapatkan Faridah dan minta beliau bersedia,” katanya.

Sebelum ini GTSM mengumumkan bakal meletakkan calon pada PRK Tanjung Piai selepas kecewa dengan janji ahli politik yang gagal membela nasib mereka.

GTSM mempertaruhkan Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail bagi mewakili industri teksi untuk bertanding dalam PRK Tanjung Piai 16 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 3:32 PM