NURANI Ellesya melecur 45 peratus di seluruh badan dalam kejadian pada 4 Oktober 2018. FOTO Sairien Nafis
NURANI Ellesya melecur 45 peratus di seluruh badan dalam kejadian pada 4 Oktober 2018. FOTO Sairien Nafis
Skuad Khas Harian Metro


“KITA tawarkan bantuan tanpa syarat dan (tanpa) bayaran bagi menguruskan kes ini sehingga selesai,”.

Itu janji peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz kepada ibu tunggal, Haizira Badarudin, 42, bagi menuntut pembelaan untuk anak gadisnya Nurani Ellesya Badrul Nizam, 15, dan arwah suami, Badrul Nizam Baharom, 43.

Untuk rekod, Badrul Nizam maut selepas mesin pengering pakaian di kedai dobi layan diri di Bandar Putera 2 di sini, meletup manakala Nurani Ellesya melecur 45 peratus di seluruh badan termasuk muka dalam kejadian pada 4 Oktober 2018.

Menurut Mohd Khairul, dia bersimpati terhadap tragedi menimpa keluarga Haizira dan berpendapat perkara itu perlu segera dibawa ke muka pengadilan.

“Mereka berhak menuntut ganti rugi akibat kehilangan pendapatan disebabkan kematian suami serta kos perubatan termasuk pembedahan plastik bagi membolehkan Nurani kembali pulih.

“Segala maklumat berkaitan kesalahan pengendali kedai dobi ini juga sudah berada di tangan kita,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Haizira di Johan Setia, semalam.

Menurutnya, dia yakin kes dapat diselesaikan segera bagi memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan.

“Kita bersedia bekerjasama dengan peguam sebelum ini bagi menguruskan kes sehingga selesai,” katanya memberitahu, dia mengetahui kisah malang menimpa keluarga Haizira yang masih belum terbela selepas membaca pendedahan akhbar ini.

Sementara itu, Haizira berkata, kehidupan anaknya sudah tidak lagi seperti dulu berikutan emosinya terjejas teruk akibat insiden berkenaan.

MOHD Khairul Azam dan Haizira.
MOHD Khairul Azam dan Haizira.

“Dia tidak dapat menikmati zaman muda seperti rakan sebayanya, bayangkan keperitan dilaluinya, tidak boleh ke sekolah sebab kulitnya sensitif terhadap cuaca panas, malu berjumpa orang ramai. Selain itu ada kalanya dia tinggal bersendirian di rumah disebabkan saya perlu keluar bekerja kerana sumber pendapatan utama arwah suami sudah tiada,” katanya.

Haizira berkata, mereka sudah lama berhasrat untuk membawa kes itu ke mahkamah supaya semua pihak dapat mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

“Peguam sudah dilantik selepas kami sekeluarga membuat keputusan mengambil tindakan undang-undang. Namun ia tertangguh beberapa kali disebabkan laporan perubatan Nurani lambat dikeluarkan pihak hospital.

“Mereka (syarikat pengendali kedai dobi) hanya jumpa saya sekali saja selepas kejadian namun apabila saya meminta mereka menandatangani borang penukaran membawa Nurani ke hospital swasta, mereka tidak mahu bermaksud mereka tidak mahu bayar kos rawatan anak saya,” katanya.

Katanya, dia memperuntukkan RM500 sebulan bagi ubat serta makanan tambahan untuk Nurani dan ia tidak termasuk kos bagi berulang-alik ke Hospital Selayang bagi rawatan kulit anaknya itu.

Untuk rekod, bermula 16 Oktober lalu, Harian Metro dalam laporan bersirinya mendedahkan, hanya 688 kedai dobi layan diri mempunyai lesen dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga (ST) berbanding 3,000 premis sama di seluruh negara sekaligus mendedahkan penggunanya kepada risiko kematian akibat letupan seperti insiden yang menimpa Badrul Nizam.

Laporan itu turut mendedahkan, ada 5,500 kedai dobi di seluruh negara dan 3,000 kedai dobi layan diri manakala bakinya kedai dobi biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 5:15 AM