MOHD Fareez menyediakan roti canai terbang di kedainya di Kampung Kelembang, Ulu Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM
MOHD Fareez menyediakan roti canai terbang di kedainya di Kampung Kelembang, Ulu Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


SEORANG pemuda menjadikan laman sosial YouTube sebagai tempat rujukan mempelajari cara membuat roti canai sebelum memulakan pekerjaan sebagai penebar makanan itu.

Menyedari bukan hanya faktor keenakan roti canai menyebabkan kedai sentiasa menjadi tumpuan, Mohd Fareez Amran, 24, dari Kampung Kelembang, Ulu Jelebu, Jelebu, mengambil inisiatif membuat roti canai terbang.

Katanya, dia mengambil masa selama enam bulan untuk belajar sendiri cara membuat roti canai terbang selain turut menonton video menerusi YouTube aksi berkenaan dilakukan.

“Saya menggunakan banyak tepung semata-mata mahu belajar dan melengkapkan kemahiran selepas tertarik melihat aksi profesional penebar roti canai di YouTube.

“Untuk membuat roti canai terbang pula, tepung perlu diadun dengan betul selain memerlukan pergerakan tangan yang laju selain sentiasa memberi tumpuan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Fareez berkata, dia menjadi penebar roti canai sejak 2012 di sebuah kedai makan di Melaka, namun berhenti dua tahun kemudian kerana mahu menjaga arwah ayah yang sakit akibat barah tetapi meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Sejak itu katanya, dia hampir kehilangan kemahiran selain faktor ekonomi yang tidak menentu menjadi punca untuk tidak meneruskan lagi pekerjaan sebagai penebar roti canai.

“Selama beberapa tahun saya hanya membuat kerja kampung tetapi rakan yang tahu kebolehan saya meminta supaya mula berniaga menyebabkan saya membuka kedai di kampung awal bulan ini,” katanya.

Mohd Fareez yang masih bujang mengakui membuat sendiri adunan roti canai menggunakan resepi tersendiri bagi memastikan roti canai dapat melayang di udara ketika ditebar.

Katanya, kini roti canai terbang menjadi tarikan utama pelanggan terutama penduduk kampung untuk datang ke kedainya selain masakan panas lain yang dimasak sendiri.

“Syukur walaupun hanya berniaga di kampung dengan hanya dibantu abang, setiap hari saya mampu menjual sehingga 200 keping roti canai sehari,” katanya.

Sementara itu, pelanggan tetap, Norazli Paat, 40, berkata dia cukup terhibur apabila melihat Mohd Fareez melakukan aksi roti canai terbang dan tidak kisah berada di kedai makan pada setiap malam.

Katanya, sebagai pelanggan, dia memberi sokongan padu kepada rakan sekampung untuk terus mencipta aksi baru roti canai terbang sebagai tarikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 2:56 PM