Nurul Fhatihah Zakinan dan Amir Mamat

“HASIL kerja kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru berusia ‘setahun jagung’ tidak boleh dibandingkan dengan kerajaan lama yang pernah memerintah 61 tahun,” kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perbandingan yang jauh berbeza itu tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada sistem pemerintahan ketika ini walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpengalaman memimpin selama 22 tahun.

Beliau berkata, yang penting semangat muafakat serta kerja berpasukan dalam kerajaan bakal menentukan kejayaan PH mentadbir negara.

Team work (kerja berpasukan) itu penting. Jangan kita leka kerana mereka (Barisan Nasional) lawan kita dengan apa cara sekali pun menerusi pengalaman mereka selama ini.

“Mereka ada dana walaupun tidak boleh menggunakan apa-apa kemudahan kerajaan, mereka perkenalkan macam-macam (program), mereka tidak pernah rasa bersalah. Kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), adakah mereka rasa bersalah?” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jasin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, semalam.

 DR Wan Azizah menerima cenderamata daripada  Shamsul Iskandar (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Jasin, semalam. FOTO Rasul Azli Samad
DR Wan Azizah menerima cenderamata daripada Shamsul Iskandar (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Jasin, semalam. FOTO Rasul Azli Samad

Turut hadir, Timbalan Menteri Industri Utama yang juga Ketua PKR Cabang Jasin, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Wanita PKR negeri, Datuk Ginnie Lim Siew Lin.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, bagi berdepan situasi lebih getir pada masa depan, semua pihak dalam PH perlu memperkukuh perpaduan selain menjalankan tanggungjawab diamanahkan menerusi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Beliau berkata, pemimpin PH juga diingatkan tidak lupa diri selepas diberikan mandat memerintah negara.

“Setiap pemimpin perlu menjalankan tanggungjawab membela nasib rakyat di samping kekal mempertahankan parti daripada menjadi mangsa fitnah dan adu domba pihak tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:35 AM