ANTARA laluan dinaiki air ketika banjir kilat melanda ibu negara, hari ini. FOTO ihsan DBKL
ANTARA laluan dinaiki air ketika banjir kilat melanda ibu negara, hari ini. FOTO ihsan DBKL
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


HUJAN lebat hampir dua jam melanda sekitar ibu kota hari ini menyebabkan beberapa kawasan terjejas selepas dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terjejas akibat laluan dinaiki air adalah terowong Jalan Tun Razak, Jalan Pudu Ulu, Jalan Cheras, Jalan Pudu Perdana, Jalan Datuk Keramat, Jalan Wirawati dan kawasan berhampiran PPR Hiliran Ampang.

Beberapa pasukan Skuad Bencana DBKL dikerahkan bagi memantau kawasan terjejas akibat kejadian itu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Muhamad Irwan Abdullah berkata, pihaknya menggerakkan bantuan di kawasan terjejas.

“Semua anggota dikerahkan untuk memantau dan melaksanakan tugas bantuan.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur memaklumkan kebanyakan kawasan terjejas dinaiki air setinggi 0.5 hingga satu meter.

“Pemantauan terus dilakukan di kawasan terjejas.

“Beberapa jalan dilaporkan sesak ekoran terdapat takungan air dan limpahan di kawasan jalan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 9:27 PM