GAMBAR Arkib NSTP
GAMBAR Arkib NSTP
Muhammad Apendy Issahak


POLITIK di Perak bergolak lagi dan kali ini lebih hangat hingga ke tahap mungkin berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila terdapat khabar angin mengatakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti gabungan Pakatan Harapan (PH) keluar parti.

Penularan beberapa ADUN DAP Perak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, termasuk Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) mula tular hari ini.

Turut tular surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak yang memberi kebenaran kepada permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan lawatan ke sekolah sebagai pusat mengundi dalam tempoh tiga bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan negeri belum dapat memastikan kesahihan surat JPN Perak itu.

“Berikutan penularan satu tangkap layar sekeping surat yang bertajuk ‘Permohonan Kebenaran Lawatan Awal Tapak Ke Sekolah-Sekolah Sebagai Pusat Mengundi Di Dalam Negeri Perak’, adalah dimaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri belum dapat memastikan kesahihan surat berkenaan.

“Sekiranya surat itu benar, kerajaan negeri dimaklumkan bahawa lawatan awal tapak yang dibuat adalah amalan biasa pihak Pejabat Pilihan Raya Negeri atas urusan rasmi mereka.

“Penafsiran terhadap surat itu dengan mengatakan PRN bakal diadakan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan Perak memandang serius penularan berita tidak benar itu dan akan mengambil tindakan susulan terhadap perkara berkenaan.

Sementara itu, sumber daripada DAP Perak pula mengesahkan memang berlaku tindakan beberapa ADUN parti berkenaan yang keluar parti dan menjadi parti bebas, namun tidak dapat memastikan berapa ramai yang berbuat demikian.

Bagaimanapun difahamkan, kesemua ADUN yang keluar itu menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan dan PRN mungkin tidak akan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 8:20 PM