PELAJAR  Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Omar  menjalani ujian bertulis  PT3.
PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Omar menjalani ujian bertulis PT3.
Zuliaty Zulkiffli


ALOR SETAR: “Walaupun sedih selepas disahkan menghidap masalah tulang belakang sejak awal tahun ini, saya tetap kuatkan semangat menghadapi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

“Biarpun kerap ‘ponteng’ sekolah untuk menjalani rawatan di hospital, saya tetap mengulang kaji pelajaran dalam wad,” kata Hafiz Zafran Noorazizi, 15.

Hafiz Zafran antara 210 calon PT3 Sekolah Menengah Dato Syed Omar (SMDSO) yang menduduki peperiksaan bermula semalam.

Dia disahkan menghidap masalah itu selepas mengalami lenguh badan dan tidak mampu mengangkat barang berat sehingga mengganggu kesihatannya.

Hafiz Zafran kemudian menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum disahkan menghidap masalah tulang belakang.

“Saya menyasarkan untuk memperoleh 6A atau 7A untuk PT3 kerana saya sudah cuba sedaya upaya untuk menghadapi peperiksaan ini walaupun melalui semua ujian termasuk rawatan penyakit saya,” katanya, semalam.

Rakannya, Abdul Razaq Abu Hassan, 15, yang buta mata kanan pula berkata, dia tidak mempunyai masalah ketika sesi pelajaran di dalam kelas walaupun mempunyai masalah penglihatan sejak lahir.

HAFIZ Zafran.
HAFIZ Zafran.

Dia terpaksa duduk di hadapan sekali ketika guru mengajar untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran.

“Saya cuma nampak sikit saja, tapi tak jelas jadi saya memang gementar hari ini (semalam) namun saya akan cuba sedaya upaya untuk memperbaiki apa yang saya fahami ketika belajar selama ini.

“Di rumah saya banyak menghabiskan masa belajar dengan emak, harapan saya untuk memperoleh 11A dalam semua subjek,” katanya yang juga pelajar aliran agama di sekolah itu.

Dalam pada itu, Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMDSO, Solehah Shaari berkata, dua pelajar itu diberi masa tambahan 30 minit disebabkan mereka mempunyai masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 5:30 AM