GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Norizuan Shamsuddin


SUDAHLAH berhutang mas kahwin, lelaki 30-an sanggup membelasah isterinya dengan batang mop hingga cedera, hanya disebabkan wanita itu ke rumah ibu bapanya.

Kejadian berlaku di Kampung Durian Tinggi, Bukit Payung, Marang pada 30 Ogos lalu menyebabkan mangsa luka di kepala dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sumber berkata, sebelum itu mangsa berusia 29 tahun berselisih faham dengan suaminya apabila lelaki itu menghalang dia ke rumah orang tuanya yang terletak bersebelahan rumah mereka.

“Ketika kejadian pada 7 petang itu, lelaki itu yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) turut memberi amaran akan menjatuhkan talak tiga sekiranya wanita itu ke rumah ayahnya.

“Namun, mangsa tidak mengendahkan arahan suaminya dan terus ke rumah orang tuanya. Ketika berada di rumah itu, lelaki berkenaan datang membawa batang mop jenis besi dan memukul kepala isterinya hingga berdarah.

“Tidak cukup itu, dia juga mengambil batang kayu untuk memukulnya lagi sebelum wanita itu melarikan diri untuk meminta tolong jiran,” katanya, hari ini.

Susulan kejadian, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Bukit Payung pada 8.25 malam, Selasa lalu.

Difahamkan, mangsa menuntut suaminya menjelaskan hutang mas kahwin yang masih belum dilunaskan sebelum mereka berkahwin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Amran @ Mohd Zaki Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, mangsa mengalami luka kecil di kepala dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Kita masih mengesan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 3:36 PM