Muhammad Yusri Muzamir


GEORGETOWN: Pengarah projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Lai Sin Kian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan berkaitan kejadian tanah runtuh di tapak projek lebuh raya berkenaan, tahun lalu.

Lai membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Lai sebagai majikan gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja backfill atau menampung tanah untuk cerun.

Kegagalan itu menyebabkan tanah runtuh pada jam 1.56 tengah hari hingga 6 petang pada 19 Oktober tahun lalu yang mengorbankan sembilan orang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Norliza Abu Othman.

Ketika prosiding Mazdi, mengarahkan pindaan dibuat ke atas kertas pertuduhan selepas tidak berpuas hati kerana terdapat percanggahan masa dinyatakan.

“Kenapa ada percanggahan masa antara jam 1.56 tengah hari dan 6 petang dalam kertas pertuduhan? Adakah kejadian berlaku pada jam 1.56 tengah hari atau 6 petang? Ini akan menjejaskan pembelaan Lai.

“Kalau kamu tak reti buat kertas pertuduhan, sila rujuk Pejabat Pendakwaan Negeri untuk bantuan.

“Saya bagi peluang untuk pendakwa raya semak semula pertuduhan kes ini. Kalau masih lagi keraguan macam ini, saya akan buang kes,” katanya.

Sementara itu, Norliza memaklumkan dua waktu berbeza itu merujuk kepada masa kejadian dan siasatan kes berkenaan.

“Yang Arif, kejadian tanah runtuh berlaku pada jam 1.56 tengah hari, manakala siasatan dilakukan bermula jam 6 petang,” katanya.

Peguam S Kanesh yang mewakili Lai kemudian meminta mahkamah membatalkan pendakwaan kes terbabit susulan percanggahan waktu dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

Mazdi, kemudian menetapkan 27 September depan bagi proses pertuduhan semula ke atas Lai.

Dalam kejadian itu, sembilan pekerja warga asing maut, manakala empat cedera dan seorang hilang berikutan kejadian tanah runtuh di tapak projek lebuh raya berkenaan yang dikendalikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Projek bernilai RM530 juta itu adalah jalan bertingkat alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam dan Lebuh Bukit Jambul dijangka siap menjelang Mei 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 5:50 AM
LAI hadir ke Mahmakah Sesyen Georgetown, hari ini untuk pertuduhan berhubung kejadian tanah runtuh di Paya Terubong pada 19 Oktober 2018.
LAI hadir ke Mahmakah Sesyen Georgetown, hari ini untuk pertuduhan berhubung kejadian tanah runtuh di Paya Terubong pada 19 Oktober 2018.