TENGKU Muhammad Rizam (tengah) bersama pelajar yang menerima Biasiswa Pengajian Luar Negara MAIK 2019.
TENGKU Muhammad Rizam (tengah) bersama pelajar yang menerima Biasiswa Pengajian Luar Negara MAIK 2019.
Syaherah Mustafa


“TANPA biasiswa Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), tidak mungkin saya dapat mengejar cita-cita menjadi doktor,” kata Nur Ashiqin Ibrahim, 20.

Dia antara lima penuntut cemerlang yang menerima biasiswa MAIK untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Semua yang terpilih akan menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan bio-perubatan di Universiti of Manchester, England, Royal College Of Surgeons in Ireland (RCSI) dan Trinity College Of Dublin.

Nur Ashiqin berkata, dia bersyukur mendapat biasiswa dengan jumlah keseluruhan RM1.5 juta untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan ke RCSI.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia akan bertolak September depan dan biasiswa itu akan digunakan sepenuhnya sepanjang tempoh pengajian.

“Menjadi doktor adalah impian saya sejak kecil.

“Insya-Allah peluang dan bantuan ini akan saya gunakan sebaik-baiknya supaya menjadi insan berjaya dan berguna kepada agama, masyarakat dan negara,” katanya pada Majlis Kurniaan Biasiswa Pengajian Luar Negara MAIK 2019 di sini, semalam.

Penyerahan biasiswa disempurnakan Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIK, Prof Emeritus Datuk Dr Zainai Mohamed.

Tengku Muhammad Rizam berkata, MAIK memperuntukkan biasiswa RM6 juta kepada lima penuntut berkenaan.

Katanya, mereka adalah kumpulan tajaan MAIK yang mendapat semua A di peringkat A-Level di Kolej Yayasan UEM, Bandar Baru Lembah Beringin, Selangor.

“Saya dimaklumkan MAIK memperuntukkan antara RM761,833 hingga RM1.57 juta kepada setiap penuntut untuk membiayai pengajian bagi tempoh empat hingga lima tahun.

“Diharapkan penuntut terpilih ini akan terus cemerlang serta diberi keberkatan dalam menuntut ilmu dan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan membanggakan.

“Saya ingatkan mereka supaya ‘ikut rasmi padi, makin berisi makin ia menunduk ke bumi, jangan ikut rasmi lalang, makin tumbuh, makin menjulang,” katanya.

Beliau berkata, pemberian biasiswa itu selaras dengan misi MAIK untuk memberi sumbangan bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi umat Islam melalui Jawatankuasa Pendidikan dengan meletakkan pembudayaan ilmu pengetahuan sebagai pemacu transformasi masyarakat Islam di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:25 AM